PENJELASAN PENGENAAN PENALTI 100% BAGI KEGAGALAN MELAPORKAN PENDAPATAN DAN MAKLUMAT YANG BETUL

1. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ingin menarik perhatian pihak media dan orang ramai mengenai isu pengenaan penalti pada kadar 100%  yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2018.

 

2. Di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri diberi kuasa untuk mengenakan penalti bagi kesalahan tidak melaporkan pendapatan atau melaporkan dengan salah pendapatan yang tertakluk kepada cukai. Cadangan peningkatan kadar penalti kepada 100% jumlah cukai yang sepatutnya dibayar atas pendapatan yang tidak dilapor atau kurang dilapor mulai 1 Januari 2018 ini merupakan satu langkah bagi mempertingkatkan tahap pematuhan secara sukarela di kalangan pembayar cukai dengan cara menangani kalangan pembayar cukai yang tegar gagal mematuhi perundangan percukaian.

 

3. Antara contoh kes yang dikenal pasti tertakluk kepada kadar ini ialah:

a) Kesalahan berulang tidak melapor atau salah melapor pendapatan yang diterima melalui borang retan,

b) Keengganan memberi kerjasama penuh semasa proses audit dan siasatan,

c) Kegagalan memberikan maklumat atau dokumen yang diminta untuk membantu proses audit dan siasatan

d) Melaksanakan skim pelarian cukai secara terancang, atau

e) Kegagalan mematuhi perundangan percukaian walaupun pernah diaudit atau disiasat sebelumnya.

 

4. Sebagai persediaan, pembayar cukai amat digalakkan untuk tampil melaporkan pendapatan dan maklumat yang betul dalam masa yang ditetapkan.